"The best place on earth! sentiasa merendah diri kerana ALLAH sudah mengizinkan untuk tinggal di sini.." (Tn.Hj.Jamal Yusuf)
"Suatu nikmat yang besar apabila dapat bekerja dengan latar yang mengutamakan agama. dalam masa yang sama dapat menunaikan umrah dan haji merupakan suatu nikmat yang sangat besar disamping dapat membentuk jati diri ke arah muslim yang sebenar dan sentiasa dekat denganNYA.."
(Tn. Hj. Mohd Rus Abbas)
Sangat tertarik dengan kata-kata yang diberikan oleh kedua-dua mereka apabila saya bertanyakan akan nikmat ataupun kelebihan dapat bekerja di Makkah berbanding dengan tempat lain. Benar, di Saudi Arabia dan Makkah khasnya kerja dan ibadah berjalan seiring. Setiap kali masuk waktu solat semua pejabat akan ditutup bagi mengutamakan waktu solat. Semua pekerja akan memenuhi masjid-masjid terdekat. "Kejarlah akhirat, Dunia akan datang kepadamu."
Saya menyelak sedikit akan entry yang lepas tentang keindahan ruang masjidilharam yang baru. Silakan baca di sini. Terpesona dengan keindahan dan mengagumi akan senibina yang teliti serta gah itu membuatkan saya selalu mencari maklumat dan mengkaji serba sedikit tentang projek yang dikategorikan sebagai Projek Gergasi Terbesar dalam Sejarah Islam ini. Sedikit demi sedikit maklumat itu saya perolehi dan pada entry kali ini ingin sekali saya memperkenalkan dua orang rakyat Malaysia yang terlibat dalam projek mega ini. Sudah menyumbang bakti untuk syarikat angtarabangsa yang bertapak di Makkah dalam tempoh masa yang agak lama. Mereka berdua merupakan nama-nama yang akan tersenarai sebagai tenaga pakar yang menyumbang kepada Projek Pembesaran Masjidilharam, King Abdullah bin. Abdul Aziz, Makkah al Mukarramah.
Makkah dalam era pembangunan yang ekstrem. gambar ihsan google |
Tuan Haji Jamal Yusuf berasal dari Pulau Pinang dan berkelulusan B.Eng (Hons) Mechanical Engineering dari UTM Skudai, Johor. Kini sedang mengikuti kursus MSc Commercial Management & Quantity Surveying (HWU) . Bertugas sebagai Cost Consultant untuk Project 3rd Expansion of Holy Haram & Surrounding Areas. Turut berpengalaman sebagai seorang engineer yang pernah bertugas selama 5 tahun di Brunei membuatkan beliau diberi kepercayaan di dalam skop Mechanical Electrical & Plumbing untuk projek ini.
Tn. Hj. Jamal Yusuf. |
Kata Tn. Hj Jamal yang telah 3 tahun bekerja untuk projek ini, pembesaran masjid bukan hanya melibatkan pembesaran fizikal masjid sahaja, malah ianya juga merupakan penambahbaikan dalam semua sistem sokongan, keselamatan, kesihatan dan juga infrastuktur. Pembesaran dibuat secara holistik yang mengambil kira segala keperluan jemaah sebaik yang mampu walaupun terdapat pelbagai kekangan yang melanda.
Berlainan pula dengan Tuan Hj. Mohd Rus Abbas yang telah mengabdikan diri untuk projek ini selama hampir 6 tahun juga sebagai cost consultant, namun berbeza dengan Tn. Hj Jamal apabila beliau ditugaskan khusus untuk projek Mataf Expansion, Masjidilharam. Saya ada memberikan sedikit gambaran tentang mataf expansion di sini..
Ternyata penghijrahan beliau ke Makkah untuk projek ini mampu menghadiahkan ilmu dan pengalaman yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Beliau yang mempunyai ijazah Bsc. Quantity Surveying (Hons) dari UITM ini menggunakan segala ilmu dan pengalaman yang dimiliki untuk memberikan gambaran dan hasil kerja yang baik dalam projek yang sudah hampir sebati dalam diri beliau ini. Berpengalaman lebih 15 tahun dalam pelbagai projek di Malaysia dan Sultanate of Oman sebelum berhijrah ke Makkah merupakan satu kelebihan yang boleh diguna pakai di sini. Namun, terdapat banyak kelebihan mengendalikan projek ini kerana ianya bukan untuk keperluan diri semata, tetapi ia merupakan tempat tumpuan seluruh umat islam. Oleh itu, beliau meletakkan harapan yang tinggi dan memberikan komitmen sehabis baik bagi memastikan perjalanan projek lancar dan siap mengikut waktu yang ditetapkan. Selain berharap bahawa sumbangan-sumbangan idea, ilmu dan juga komitmen ini membolehkan beliau turut sama berpeluang mengutip pahala bekalan untuk akhirat kelak.
Tn. Haji Mohd Rus Abbas. |
Apabila bercakap tentang cabaran sepanjang bekerja di Makkah, mereka memberikan jawapan yang hampir sama. Cabaran terbesar merupakan kesukaran untuk bekerja dengan orang lain yang berlainan cara kerja, bangsa, latar belakang dan budaya! Tidak lekang dengan salah faham dan perlu mempunyai tahap kesabaran serta minda yang lebih terbuka bagi menyesuaikan diri dengan budaya kerja yang sangat berlainan. Selain itu, keadaan cuaca yang ekstrem merupakan salah satu cabaran yang perlu dilalui dengan tenang. 'Alah bisa, tegal biasa.' Lama kelamaan mereka sudah terbiasa dengan suasana yang begitu dan ianya bukan masalah besar lagi.
Menyentuh aspek kelebihan, pada pandangan peribadi saya, mereka tergolong dikalangan yang bertuah apabila berkesempatan melawat kawasan-kawasan pembinaan yang terlarang dan telah ditutup untuk orang awam seperti telaga zam-zam, kawasan peninggalan sejarah yang ada di sekitar masjidilharam dan juga beberapa kawasan lain di kawal ketat oleh pihak kerajaan saudi. Lebih istimewa apabila di atas rasa tanggungjawab dalam projek ini, secara tidak langsung mereka mengkaji dan mengetahui akan sejarah-sejarah pembangunan di Makkah serta kehebatan seni pembinaan islam yang telah bermula beratus tahun dahulu. Disamping dapat mengutip pengalaman dan ilmu yang beharga, ianya mampu menambah kecintaan kepada agama dan seterusnya menjadikan diri lebih baik dan lebih bersemangat untuk memperbaiki hubungan dengan pencipta. MashaAllah..
Apabila sudah berada di dalam projek yang mencetuskan pelbagai andaian di mata dunia ini, terutama selepas tragedi kren tumbang yang meragut banyak nyawa. Ia sangat meninggalkan kesan dan calaran hebat dalam hati mereka sebagai kenangan pahit. Kesannya, mereka lebih memahami dan menjiwai serta lebih jelas akan objektif projek pembesaran masjidilharam. Jelas harapan mereka untuk melihat dan berusaha bagi memastikan projek dapat disiapkan seperti yang dirancang, dapat memberikan keselesaan kepada jemaah seterusnya kuota haji dan umrah dapat ditambah serta segala support system dapat beroperasi dengan sempurna! Tiada lain ianya adalah untuk kemudahan tetamu-tetamu ALLAH yang semakin meningkat jumlahnya saban tahun. InshaALLAH..
yang berkongsi rasa,
Masnira Ramli. :)
No comments:
Post a Comment