~ALMARHUMAH NURHAMIZAH MOHD SHARIFF ~
“maaf ya.. tadi anak saya rasanya terpukul anak awak.” Aku masih ingat suara lembut menyapaku dengan perkataan maaf.
“eh, its ok.. Don’t worry.. anak saya pun boleh tahan juga nakalnya..” Tidak sampai hati aku melihat wajah lembut itu terusan meminta maaf bagi pihak anaknya yang baru berumur 2 tahun sebaya anakku Rania. Apalah yang kanak-kanak sekecil itu tahu. Sudah lumrah bermain. Pasti ada yang tersenggol atau merajuk. Kemudian akan berbaik semula.
Perkenalan aku dan Mizah bermula di makan-makan di rumah Kak Niza. Ketika itu, pertama kali aku dijemput menghadiri di dalam majlis makan2 mereka. Memenuhi undangan majlis akikah anak sulung Ustaz Hafiz dan Ustazah Ismah.
“Saya mizah. Belajar kat sini.” Mizah mencuba memancingku untuk menyambung perbualan. Mungkin melihat aku diam tidak banyak bicara. Maklum lah masih baru. Malu-malu kucing lagi.
“oo.. Mizah dah lama ke kat sini.. saya Eira. Saya baru je smpai 2 bulan”
“Mizah baru juga lagi. Suami yang datang dulu.” Dia membalas dengan sangat sopan. Setiap baris ayat pasti diselangi dengan senyuman manis. Wajahnya putih bersih. Bermata agak sepet dan berhidung mancung. Sungguh ayu dan peribadinya yang sangat lembut menyenangkan sesiapa yang berbual dengannya ketika itu.
Dalam hingar majlis kenduri yang dihadiri oleh masyarakat Malaysia yang bermastautin di Makkah ini, perbualan aku dan Mizah menjadi semakin panjang. Lebih lagi apabila mengetahui bahawa kami sebaya dan juga mempunyai anak yang juga sebaya.
Begitulah bermula perkenalan aku dan Mizah.
‘Allahyarhamah Mizah’.
Pilu untuk aku mengungkapkan sebutan itu. Tetapi itulah hakikat yang sudah hampir setahun aku telan. Mizah telah pergi untuk selamanya ketika pulang bercuti di Malaysia hampir setahun yang lepas. Mizah pergi dengan meninggalkan 3 anak yang makin kecil dan masih memerlukan belaian kasih beliau. Tetapi ternyata ALLAH lebih menyayangi Mizah kerana Mizah adalah figura muslimah yang terlalu sempurna di mataku. Lebih lagi perwatakannya.
**********
“Eira., sini lah kejap.” Mizah memanggilku dengan suara yang hampir berbisik.
“kenapa?” dalam bertanya aku mengekori langkahnya sehingga ke tempat yang agak terselindung dari orang ramai. Ketika itu kami di dalam majlis usrah di rumah Kak Ina. Masih jelas dalam ingatan ketika itu Mizah membawa kuih cucur badak yang sangat enak sekali. Sungguh. Mizah gemar memasak. Macam-macam resepi yang dicubanya. Apabila sesiapa memuji masakannya. Dia akan turut berkongsi resepi bersama orang tersebut.
Mizah mengeluarkan sesuatu di dalam beg kertas yang dijinjing sambil memanggil aku tadi. Ketika itu orang lain sedang khusyuk makan dan berbual setelah habis usrah.
“Eira, semalam Mizah buat nasi kerabu. Teringat Kak Zah cerita yang eira teringin makan nasi kerabu. Mizah buat untuk suami dan anak-anak. Ni mizah bungkuskan sikit untuk Eira. Segan lah. Sebab sikit je nanti orang lain nampak.” Sungguh-sungguh dia menghulurkan nasi kerabu yang berada di dalam bungkusan plastik itu kepadaku. Sempat dia mengusap perutku yang sudah kelihatan agak besar. aku sedang mengandungkan Rasyad ketika itu.
“Mizah…, terima kasih banyak-banyak. Memang teringin nak makan. Tapi nak buat tak rajin.” Aku membalas dengan nada bergurau. Perasaan sungguh terharu. Tidak ku sangka Mizah sebegitu baik. Sangat penyanyang dan mengambil berat akan hal sekeliling. Aku yakin mungkin kak zah hanya berbual ringan bercerita bahawa aku mengidam untuk makan nasi kerabu.
Esoknya aku bersarapan nasi kerabu yang Mizah bagi dengan gembira sekali. Agak banyak. Cukup untuk aku berkongsi dengan suami dan Rania. sambil makan kami memuji-muji keenakkan nasi kerabu tersebut. Suami juga turut bersetuju dengan pujianku. “orang Kelantan yang masak nasi kerabu. Mestilah sedap.” Kata suami berulang-ulang.
Sebenarnya aku dan mizah bukan kategori yang terlalu rapat. Aku bukan sahabat yang mengetahui akan cerita dan masalah beliau. Jauh sekali menjadi tempat untuk beliau berkongsi masalah. Aku percaya ada ramai di antara kami di sini yang menjadi sahabat baik, pendengar setia untuk Mizah. Namun kebaikan Mizah mampu mencairkan hati sesiapa sahaja. Tutur kata, perwatakan serta apa yang beliau lakukan kepada kelompok masyarakat kecil kami di sini sangat menyenangkan. Tiada langsung cerita dan perihal buruk tentang Mizah yang tidak kami senangi. Segalanya manis. Semuanya yang baik-baik sahaja. Allahu. Sungguh Mizah adalah ahli syurga yang ALLAH pinjamkan sebentar kepada kami. Menjadi asbab dan contoh teladan supaya kami turut mengikuti langkah beliau.
Disaat aku menulis tentang ini, walaupun sudah hampir setahun Mizah pergi dadaku masih sarat, air mata masih terasa berat di kelopak setiap kali mengenangkan beliau. Apatah lagi orang-orang yang terdekat. Pasti dugaan kehilangan Mizah sangat berat untuk di harungi.
*********
“Eira, pada Mizah kan, di mana kita mati atau di mana kita dikebumikan itu tidak penting. Yang penting adalah kita mati dalam khusnul khatimah.”
Kata-kata Mizah yang itu masih basah dalam ingatanku. Ketika itu kami berbual tentang pelajar madinah yang meninggal dunia di dalam kemalangan ketika pergi bercuti ke utara Saudi. Kebetulan kesemua yang terlibat dalam kemalangan tersebut adalah sabahat Mizah. Cara Mizah bercerita aku pasti Mizah sangat terkesan atas pemergian sahabatnya itu. Lebih lagi Allahyarham meninggal seorang isteri yang juga merupakan sahabat Mizah serta dua orang anak yang masih kecil.
Perbualan kami tentang peristiwa itu melarat sehingga menceritakan bab kematian. Sambil menyuap makanan ke dalam mulut, aku memerhatikan Mizah yang berbual sambil melayan anak-anaknya makan. Sungguh Mizah seorang ibu yang baik. Dari segi percakapan serta hubungan beliau dengan anak-anaknya aku yakin Mizah adalah seorang ibu dan isteri yang sangat sempurna.
Banyak yang kami bualkan ketika makan-makan kecil di rumah Aunty Zai malam itu. Dari perihal anak-anak sehinggalah ke perancangan percutian Mizah ke Malaysia yang tinggal hanya beberapa minggu sahaja lagi.
“Tahun lepas Mizah tak balik raya. Jadi tahun ini nak balik lama sikit nak luangkan lebih masa bersama keluarga. Mizah dah tangguhkan belajar untuk semester ini. Nak tumpukan lebih perhatian untuk ajar fateh mengaji juga.” Sungguh riang Mizah menceritakan hal tersebut.
Aku hanya memerhatikan wajah Mizah yang luar biasa cantik ketika itu. Wajahnya putih bersih dan bercahaya aku tatap diam-diam. Selalu wajah itu tersembunyi di sebalik niqab yang beliau pakai. Hanya apabila sedang makan dan berbual dengan para wanita Mizah akan membuka niqabnya. Cukup manis senyumannya malam tersebut. Serta luar biasa riangnya Mizah. Sangkaku mungkin kerana tidak lama lagi Mizah mahu pulang bercuti dan menemui keluarga.
“Eira ni.. apa tengok Mizah macam tu.. “ kali ini Mizah mungkin perasan yang aku merenung beliau dari tadi.
“hehe.. tak ada apa-apa lah Mizah. Saja tengok kulit Mizah. Canti sangat.” Kataku ikhlas.
“Ishh Eira ni.. mana ada. Eira tu lagi cantik. Comel.” Jawabnya sambil ketawa kecil. Begitulah Mizah yang aku kenali sangat merendah diri orangnya. Tidak pernah berkata sesuatu yang menyakiti hati orang lain malah beliau lebih senang jika dapat menggembirakan orang lain.
Malam itu juga rania sangat gemar akan pudding jagung yang dibuat Mizah. Banyak Rania makan sambil bermain dengan anak-anak Mizah serta kanak-kanak lain. Seperti biasa, Mizah pasti tidak datang dengan tangan kosong apabila memenuhi sesuatu jemputan. Ada sahaja yang akan dibawanya. Selalunya pasti datang dari air tangannya sendiri.
Esoknya Rania demam. Tidak mahu makan melainkan pudding jagung yang dibuat oleh Mizah. Lantas aku meminta resepi daripada beliau. Tidak lokek berkongsi resepi, malah Mizah dengan senang hati mengajarku cara membuat pudding jagung tersebut. Sehingga kini aku masih menggunakan pudding jagung resepi mizah. Begitu juga dengan resepi kuih donut, nasi kerabu serta sate. Semoga dengan perkongsian tersebut dapat mengalirkan pahala buat Mizah di alam sana.
Seminggu sebelum Mizah pulang bercuti ke Malaysia, aku sedang sibuk sekali mengemas barang untuk berpindah rumah. sempat juga aku menjual beberapa barang rumah yang tidak mahu ku bawa ke rumah baru. Mizah ketika itu yang dalam persiapan untuk bercuti panjang ke Malaysia juga tidak ketinggalan membeli barang-barang rumah yang aku jual. Katanya untuk jiran baharu yang bakal berpindah ke bahagian bawah apartment rumah yang beliau tinggal. Mizah..mizah.. dalam kekalutan mengemas untuk keluarga sendiri sempat juga memikirkan orang lain.
Jadi mizah membeli kabinet baju ku. Agak ralat kerana aku tidak sempat menemui Mizah sebelum beliau berangkat pulang. Kami kerap berbalas mesej kerana berurusan untuk pengambilan dan penghantaran barang.
“Mizah dah nak balik minggu ni. Sempat tak nak pergi tengok rumah baru Eira.” Mizah menyuarakan hasrat untuk melawat rumah baru ku sebelum beliau pulang. Aku menyatakan bahawa aku belum siap mengemas. Masih dalam tempoh berpindah. Tidak sangka, selamanya Mizah tidak dapat berziarah ke rumah ku ini. Kalau lah ku tahu bahawa Mizah tidak akan pulang lagi ke Makkah, akan ku tunaikan permintaan itu..
Sungguh kematian itu sesuatu yang pasti tidak dapat kita elak walau sesaat pun. Apabila ia sudah tiba, walau di mana kita berada , kita tidak akan dapat lari. Sungguh takdir Mizah meninggal dunia di Malaysia tanah air tercinta ketika sedang bercuti di Langkawi bersama keluarga. Walaupun Mizah ingin sekali meninggal dunia dan dikebumikan di tanah barakah Makkah al Mukarramah.
Di hari pemergian Mizah menemui pencipta, beliau masih aktif di dalam whatsapp application beberapa minit sebelum dia pergi selamanya. Sempat beliau komen mesej yang dikongsi rakan-rakan yang lain.
Katanya “rindunya semua.” Kemudian beliau hilang untuk selamanya… orang terawal yang mengetahui berita itu ‘Kak Ismah’ kemudian bertanyakan keadaan Mizah ketika itu. “mizah ok ke?” mesej itu tidak berbalas…
Dan.... mesej-mesej yang seterusnya amat menggetarkan hati kami. Berita kematian Mizah adalah sesuatu yang amat menghancurkan jiwa menyebabkan kesedihan yang terlalu dalam kelompok kecil kami. Ukhwah yang terbina terasa kurang lengkap tanpa Mizah. Setiap kali kami berkumpul selepas pemergian Mizah merupakan kerinduan yang sukar digambarkan. Baru aku sedar akan ukhwah kami di sini sangat istimewa mempunyai tempat yang tersendiri di dalam hatiku.
Mizah seorang 'hafizah'. Berkali-kali Mizah mengajakku belajar Al Quran bersamanya, atas kekangan masa aku menangguhkannya. Menurutku masih banyak masa lagi untuk aku belajar bersamanya. Rupanya tiada masa lagi yang tinggal. Sebab itu Mizah sentiasa bersungguh meminta aku datang ke rumahnya pada bila-bila masa yang sesuai sebelum beliau pulang bercuti. Sambil lewa aku menyatakan bahawa aku akan cari masa yang sesuai ketika beliau kembali semula ke Makkah nanti. Beliau tidak menambah. Hanya mengatakan “InshaALLAH’.
Ternyata ALLAH sudah meletakkan Mizah di tempat yang terbaik sementara menunggu hari perhitungan dan seterusnya di tempatkan di syurga yang abadi. Dari cerita orang lain, aku pasti Mizah pergi dalam keadaan khusnul khatimah. Pasti syurga menanti nya di sana. Sudikan Mizah mengajakku bersama-sama di syurga nanti?
Masnira Ramli,
April 2017.
~Coretan ini telah saya tulis 2 tahun yang lepas.. tersimpan rapi sebagai salah satu isi manuskrip buku ke dua saya. Namun, saya kongsikan di sini sebagai tanda menyokong usaha sahabat-sahabat baik dan keluarga almarhumah yang telah berjaya menerbitkan sebuah buku travelog lengkap tentang almarhumah. saya turut merasa teruja sekali dengan penerbitan buku tersebut yang menzahirkan almarhumah sebagai icon wanita solehah. Selayaknya di jadikan contoh tauladan kepada wanita-wanita lain.. MashaALLAH. Buku tersebut dinamakan 'Ku Cium Haruman Syurga'. Tahniah saya ucapkan kepada penulis buku tersebut iaitu Ustazah Ainun Mardhiah. Beliau merupakan sahabat baik almarhumah dan juga seorang icon muslimah yang sangat hebat di mata saya, mashaALLAH.
Saya doakan supaya objektif penerbitan buku ini sampai kepada setiap hati orang-orang istimewa yang bakal membacanya. Dijadikan contoh tauladan yang baik sebagai medium untuk merubah kita menjadi yang terbaik. aminn.. inshaALLAH... ~
~Coretan ini telah saya tulis 2 tahun yang lepas.. tersimpan rapi sebagai salah satu isi manuskrip buku ke dua saya. Namun, saya kongsikan di sini sebagai tanda menyokong usaha sahabat-sahabat baik dan keluarga almarhumah yang telah berjaya menerbitkan sebuah buku travelog lengkap tentang almarhumah. saya turut merasa teruja sekali dengan penerbitan buku tersebut yang menzahirkan almarhumah sebagai icon wanita solehah. Selayaknya di jadikan contoh tauladan kepada wanita-wanita lain.. MashaALLAH. Buku tersebut dinamakan 'Ku Cium Haruman Syurga'. Tahniah saya ucapkan kepada penulis buku tersebut iaitu Ustazah Ainun Mardhiah. Beliau merupakan sahabat baik almarhumah dan juga seorang icon muslimah yang sangat hebat di mata saya, mashaALLAH.
Saya doakan supaya objektif penerbitan buku ini sampai kepada setiap hati orang-orang istimewa yang bakal membacanya. Dijadikan contoh tauladan yang baik sebagai medium untuk merubah kita menjadi yang terbaik. aminn.. inshaALLAH... ~
Nurhamizah
ReplyDeleteKhai bahar
ReplyDeleteLovely bllog you have
ReplyDelete