Saturday, August 4, 2018

ALMARHUMAH NURHAMIZAH MOHD SHARIFF.


DIARI PEMERGIAN SEORANG SAHABAT SOLEHAH. 
 ~ALMARHUMAH NURHAMIZAH MOHD SHARIFF ~


“maaf ya.. tadi anak saya rasanya terpukul anak awak.” Aku masih ingat suara lembut menyapaku dengan perkataan maaf. 

“eh, its ok.. Don’t worry.. anak saya pun boleh tahan juga nakalnya..” Tidak sampai hati aku melihat wajah lembut itu terusan meminta maaf bagi pihak anaknya yang baru berumur 2 tahun sebaya anakku Rania. Apalah yang kanak-kanak sekecil itu tahu. Sudah lumrah bermain. Pasti ada yang tersenggol atau merajuk. Kemudian akan berbaik semula. 

Perkenalan aku dan Mizah bermula di makan-makan di rumah Kak Niza. Ketika itu, pertama kali aku dijemput menghadiri di dalam majlis makan2 mereka. Memenuhi undangan majlis akikah anak sulung Ustaz Hafiz dan Ustazah Ismah. 

“Saya mizah. Belajar kat sini.” Mizah mencuba memancingku untuk menyambung perbualan. Mungkin melihat aku diam tidak banyak bicara. Maklum lah masih baru. Malu-malu kucing lagi. 

“oo.. Mizah dah lama ke kat sini.. saya Eira. Saya baru je smpai 2 bulan”

“Mizah baru juga lagi. Suami yang datang dulu.” Dia membalas dengan sangat sopan. Setiap baris ayat pasti diselangi dengan senyuman manis. Wajahnya putih bersih. Bermata agak sepet dan berhidung mancung. Sungguh ayu dan peribadinya yang sangat lembut menyenangkan sesiapa yang berbual dengannya ketika itu. 

Dalam hingar majlis kenduri yang dihadiri oleh masyarakat Malaysia yang bermastautin di Makkah ini, perbualan aku dan Mizah menjadi semakin panjang. Lebih lagi apabila mengetahui bahawa kami sebaya dan juga mempunyai anak yang juga sebaya. 

Begitulah bermula perkenalan aku dan Mizah. 

‘Allahyarhamah Mizah’. 

Pilu untuk aku mengungkapkan sebutan itu. Tetapi itulah hakikat yang sudah hampir setahun aku telan. Mizah telah pergi untuk selamanya ketika pulang bercuti di Malaysia hampir setahun yang lepas. Mizah pergi dengan meninggalkan 3 anak yang makin kecil dan masih memerlukan belaian kasih beliau. Tetapi ternyata ALLAH lebih menyayangi Mizah kerana Mizah adalah figura muslimah yang terlalu sempurna di mataku. Lebih lagi perwatakannya. 

**********

“Eira., sini lah kejap.” Mizah memanggilku dengan suara yang hampir berbisik. 
“kenapa?” dalam bertanya aku mengekori langkahnya sehingga ke tempat yang agak terselindung dari orang ramai. Ketika itu kami di dalam majlis usrah di rumah Kak Ina. Masih jelas dalam ingatan ketika itu Mizah membawa kuih cucur badak yang sangat enak sekali. Sungguh. Mizah gemar memasak. Macam-macam resepi yang dicubanya. Apabila sesiapa memuji masakannya. Dia akan turut berkongsi resepi bersama orang tersebut. 

Mizah mengeluarkan sesuatu di dalam beg kertas yang dijinjing sambil memanggil aku tadi. Ketika itu orang lain sedang khusyuk makan dan berbual setelah habis usrah. 

“Eira, semalam Mizah buat nasi kerabu. Teringat Kak Zah cerita yang eira teringin makan nasi kerabu. Mizah buat  untuk suami dan anak-anak. Ni mizah bungkuskan sikit untuk Eira. Segan lah. Sebab sikit je nanti orang lain nampak.” Sungguh-sungguh dia menghulurkan nasi kerabu yang berada di dalam bungkusan plastik itu kepadaku. Sempat dia mengusap perutku yang sudah kelihatan agak besar.  aku sedang mengandungkan Rasyad ketika itu. 

“Mizah…, terima kasih banyak-banyak. Memang teringin nak makan. Tapi nak buat tak rajin.” Aku membalas dengan nada bergurau. Perasaan sungguh terharu. Tidak ku sangka Mizah sebegitu baik. Sangat penyanyang dan mengambil berat akan hal sekeliling. Aku yakin mungkin kak zah hanya berbual ringan bercerita bahawa aku mengidam untuk makan nasi kerabu. 

Esoknya aku bersarapan nasi kerabu yang Mizah bagi dengan gembira sekali. Agak banyak. Cukup untuk aku berkongsi dengan suami dan Rania. sambil makan kami memuji-muji keenakkan nasi kerabu tersebut. Suami juga turut bersetuju dengan pujianku. “orang Kelantan yang masak nasi kerabu. Mestilah sedap.” Kata suami berulang-ulang. 

Sebenarnya aku dan mizah bukan kategori yang terlalu rapat. Aku bukan sahabat yang mengetahui akan cerita dan masalah beliau. Jauh sekali menjadi tempat untuk beliau berkongsi masalah. Aku percaya ada ramai di antara kami di sini yang menjadi sahabat baik, pendengar setia untuk Mizah. Namun kebaikan Mizah mampu mencairkan hati sesiapa sahaja. Tutur kata, perwatakan serta apa yang beliau lakukan kepada kelompok masyarakat kecil kami di sini sangat menyenangkan. Tiada langsung cerita dan perihal buruk tentang Mizah yang tidak kami senangi. Segalanya manis. Semuanya yang baik-baik sahaja. Allahu. Sungguh Mizah adalah ahli syurga yang ALLAH pinjamkan sebentar kepada kami. Menjadi asbab dan contoh teladan supaya kami turut mengikuti langkah beliau. 

Disaat aku menulis tentang ini, walaupun sudah hampir setahun Mizah pergi dadaku masih sarat, air mata masih terasa berat di kelopak setiap kali mengenangkan beliau. Apatah lagi orang-orang yang terdekat. Pasti dugaan kehilangan Mizah sangat berat untuk di harungi.

*********


“Eira, pada Mizah kan, di mana kita mati atau di mana kita dikebumikan itu tidak penting. Yang penting adalah kita mati dalam khusnul khatimah.” 

Kata-kata Mizah yang itu masih basah dalam ingatanku. Ketika itu kami berbual tentang pelajar madinah yang meninggal dunia di dalam kemalangan ketika pergi bercuti ke utara Saudi. Kebetulan kesemua yang terlibat dalam kemalangan tersebut adalah sabahat Mizah. Cara Mizah bercerita aku pasti Mizah sangat terkesan atas pemergian sahabatnya itu. Lebih lagi Allahyarham meninggal seorang isteri yang juga merupakan sahabat Mizah serta dua orang anak yang masih kecil. 

Perbualan kami tentang peristiwa itu melarat sehingga menceritakan bab kematian. Sambil menyuap makanan ke dalam mulut, aku memerhatikan Mizah yang berbual sambil melayan anak-anaknya makan. Sungguh Mizah seorang ibu yang baik. Dari segi percakapan serta hubungan beliau dengan anak-anaknya aku yakin Mizah adalah seorang ibu dan isteri yang sangat sempurna. 

Banyak yang kami bualkan ketika makan-makan kecil di rumah Aunty Zai malam itu. Dari perihal anak-anak sehinggalah ke perancangan percutian Mizah ke Malaysia yang tinggal hanya beberapa minggu sahaja lagi. 

“Tahun lepas Mizah tak balik raya. Jadi tahun ini nak balik lama sikit nak luangkan lebih masa bersama keluarga. Mizah dah tangguhkan belajar untuk semester ini. Nak tumpukan lebih perhatian untuk ajar fateh mengaji juga.” Sungguh riang Mizah menceritakan hal tersebut. 

Aku hanya memerhatikan wajah Mizah yang luar biasa cantik ketika itu. Wajahnya putih bersih dan bercahaya aku tatap diam-diam. Selalu wajah itu tersembunyi di sebalik niqab yang beliau pakai. Hanya apabila sedang makan dan berbual dengan para wanita Mizah akan membuka niqabnya. Cukup manis senyumannya malam tersebut. Serta luar biasa riangnya Mizah. Sangkaku mungkin kerana tidak lama lagi Mizah mahu pulang bercuti dan menemui keluarga. 

“Eira ni.. apa tengok Mizah macam tu.. “ kali ini Mizah mungkin perasan yang aku merenung beliau dari tadi. 

“hehe.. tak ada apa-apa lah Mizah. Saja tengok kulit Mizah. Canti sangat.” Kataku ikhlas. 

“Ishh Eira ni.. mana ada. Eira tu lagi cantik. Comel.” Jawabnya sambil ketawa kecil. Begitulah Mizah yang aku kenali sangat merendah diri orangnya. Tidak pernah berkata sesuatu yang menyakiti hati orang lain malah beliau lebih senang jika dapat menggembirakan orang lain. 

Malam itu juga rania sangat gemar akan pudding jagung yang dibuat Mizah. Banyak Rania makan sambil bermain dengan anak-anak Mizah serta kanak-kanak lain. Seperti biasa, Mizah pasti tidak datang dengan tangan kosong apabila memenuhi sesuatu jemputan. Ada sahaja yang akan dibawanya. Selalunya pasti datang dari air tangannya sendiri. 

Esoknya Rania demam. Tidak mahu makan melainkan pudding jagung yang dibuat oleh Mizah. Lantas aku meminta resepi daripada beliau. Tidak lokek berkongsi resepi, malah Mizah dengan senang hati mengajarku cara membuat pudding jagung tersebut. Sehingga kini aku masih menggunakan pudding jagung resepi mizah. Begitu juga dengan resepi kuih donut, nasi kerabu serta sate. Semoga dengan perkongsian tersebut dapat mengalirkan pahala buat Mizah di alam sana.

Seminggu sebelum Mizah pulang bercuti ke Malaysia, aku sedang sibuk sekali mengemas barang untuk berpindah rumah. sempat juga aku menjual beberapa barang rumah yang tidak mahu ku bawa ke rumah baru. Mizah ketika itu yang dalam persiapan untuk bercuti panjang ke Malaysia juga tidak ketinggalan membeli barang-barang rumah yang aku jual. Katanya untuk jiran baharu yang bakal berpindah ke bahagian bawah apartment rumah yang beliau tinggal. Mizah..mizah.. dalam kekalutan mengemas untuk keluarga sendiri sempat juga memikirkan orang lain. 

Jadi mizah membeli kabinet baju ku. Agak ralat kerana aku tidak sempat menemui Mizah sebelum beliau berangkat pulang. Kami kerap berbalas mesej kerana berurusan untuk pengambilan dan penghantaran barang. 

“Mizah dah nak balik minggu ni. Sempat tak nak pergi tengok rumah baru Eira.” Mizah menyuarakan hasrat untuk melawat rumah baru ku sebelum beliau pulang. Aku menyatakan bahawa aku belum siap mengemas. Masih dalam tempoh berpindah. Tidak sangka, selamanya Mizah tidak dapat berziarah ke rumah ku ini. Kalau lah ku tahu bahawa Mizah tidak akan pulang lagi ke Makkah, akan ku tunaikan permintaan itu.. 

Sungguh kematian itu sesuatu yang pasti tidak dapat kita elak walau sesaat pun. Apabila ia sudah tiba, walau di mana kita berada , kita tidak akan dapat lari. Sungguh takdir Mizah meninggal dunia di Malaysia tanah air tercinta ketika sedang bercuti di Langkawi bersama keluarga. Walaupun Mizah ingin sekali meninggal dunia dan dikebumikan di tanah barakah Makkah al Mukarramah. 

Di hari pemergian Mizah menemui pencipta, beliau masih aktif di dalam whatsapp application beberapa minit sebelum dia pergi selamanya. Sempat beliau komen mesej yang dikongsi rakan-rakan yang lain. 

Katanya “rindunya semua.” Kemudian beliau hilang untuk selamanya… orang terawal yang mengetahui berita itu ‘Kak Ismah’ kemudian bertanyakan keadaan Mizah ketika itu. “mizah ok ke?” mesej itu tidak berbalas… 

Dan.... mesej-mesej yang seterusnya amat menggetarkan hati kami. Berita kematian Mizah adalah sesuatu yang amat menghancurkan jiwa menyebabkan kesedihan yang terlalu dalam kelompok kecil kami. Ukhwah yang terbina terasa kurang lengkap tanpa Mizah. Setiap kali kami berkumpul selepas pemergian Mizah merupakan kerinduan yang sukar digambarkan. Baru aku sedar akan ukhwah kami di sini sangat istimewa mempunyai tempat yang tersendiri di dalam hatiku. 

Mizah seorang 'hafizah'. Berkali-kali Mizah  mengajakku belajar Al Quran bersamanya, atas kekangan masa aku menangguhkannya. Menurutku masih banyak masa lagi untuk aku belajar bersamanya. Rupanya tiada masa lagi yang tinggal. Sebab itu Mizah sentiasa bersungguh meminta aku datang ke rumahnya pada bila-bila masa yang sesuai sebelum beliau pulang bercuti. Sambil lewa aku menyatakan bahawa aku akan cari masa yang sesuai ketika beliau kembali semula ke Makkah nanti. Beliau tidak menambah. Hanya mengatakan “InshaALLAH’. 

Ternyata ALLAH sudah meletakkan Mizah di tempat yang terbaik sementara menunggu hari perhitungan dan seterusnya di tempatkan di syurga yang abadi. Dari cerita orang lain, aku pasti Mizah pergi dalam keadaan khusnul khatimah. Pasti syurga menanti nya di sana. Sudikan Mizah mengajakku bersama-sama di syurga nanti?  


Masnira Ramli,
April 2017. 

~Coretan ini telah saya tulis 2 tahun yang lepas.. tersimpan rapi sebagai salah satu isi manuskrip buku ke dua saya. Namun, saya kongsikan di sini sebagai tanda menyokong usaha sahabat-sahabat baik dan keluarga almarhumah yang telah berjaya menerbitkan sebuah buku travelog lengkap tentang almarhumah. saya turut merasa teruja sekali dengan penerbitan buku tersebut yang menzahirkan almarhumah sebagai icon wanita solehah. Selayaknya di jadikan contoh tauladan kepada wanita-wanita lain.. MashaALLAH. Buku tersebut dinamakan 'Ku Cium Haruman Syurga'. Tahniah saya ucapkan kepada penulis buku tersebut iaitu Ustazah Ainun Mardhiah. Beliau merupakan sahabat baik almarhumah dan juga seorang icon muslimah yang sangat hebat di mata saya, mashaALLAH. 

Saya doakan supaya objektif penerbitan buku ini sampai kepada setiap hati orang-orang istimewa yang bakal membacanya. Dijadikan contoh tauladan yang baik sebagai medium untuk merubah kita menjadi yang terbaik. aminn.. inshaALLAH... ~

Sunday, March 12, 2017

PROJEK WAKAF AL RAJHI GROUP DI SUDAN. KENDALIAN JURUTERA MALAYSIA.


"Dari padang pasir yang tandus bertukar ke ladang gandum yang subur!" 

Siapa sangka projek WAKAF yang bakal menyumbangkan 80% hasil keuntungannya kepada negara-negara miskin di seluruh dunia ini mempercayai seorang jurutera Malaysia Tuan Hj Zuraimi Isa sebagai Head Of Deparment- Water Management Service yang terlibat dalam pembinaan pump house, irrigation pump, canal construction dan pivots. 

Beliau ternyata sangat hebat mashaALLAh di dalam bidangnya 'mechanical engineering' apabila kepakarannya sudah di percayai oleh 7 buah negara sepanjang 19 tahun beliau bertugas. Namun projek ini lebih memberikan kepuasan lahiriah dan juga rohani apabila khabarnya ia merupakan projek wakaf, kepuasannya berbeza daripada projek mega lain yang pernah beliau terlibat. 

Apa yang berjaya membuatkan saya terlalu kagum adalah projek ini berjaya menukar sebuah padang pasir yang tandus di negara panas Sudan menjadi sebuah ladang gandum yang sangat subur dengan kepakaran teknologi kejuruteraan yang digunakan. hebat mashaALLAH! 

Bercerita tentang cabaran. Menurut beliau cabaran terbesar yang terpaksa di lalui adalah dalam mendapatkan alat ganti. Kebanyakkan projek wakaf ini berada di pedalaman padang pasir. Jarak terdekat dengan bandar utama adalah 400km. Jadi beliau banyak melakukan modifikasi untuk menyiapkan sesuatu projek berdasarkan apa materials yang terdapat di project site. 

Semoga projek ini akan terus berkembang dan melibatkan banyak negara lain khususnya kepada negara-negara miskin di benua africa. amin... 

p/s- Jurutera hebat. Anak kelahiran negeri Kelantan, Tuan Haji Zuraimi Isa ini keluaran universiti tempatan tau. Universiti Teknologi MARA . Syabas tuan. Semoga terus memberikan insprasi kepada anak-anak muda yang meminati bidang mechanical engineering. 






Nile Pump Station - Diantara projek yang dibina oleh beliau..



pivot yang berkeluasan 60 hekta

Ladang Gandum yang subur!




pivot irragation system

wajah asal padang pasir yang tandus sebelum bertukar menjadi sebuh ladang gandum yang subur.

pump yang digunakan untuk mendapatkan air daripada 800 kaki di bawah tanah!




Nasihat Tuan Hj. Zuraimi Isa untuk anak-anak muda: 

Prinsip utama adalah kejujuran dan ikhlas. Jujur dalam bekerja, jujur dalam berkawan dan juga jujur dalam kehidupan. Bila kita jujur dalam bekerja, tidak menipu walaupun kekadang kita di pihak yang sedikit, ALLAH swt akan bukakan jalan untuk kita.. 

Sepanjang dalam kerjaya saya, saya tidak pernah meminta untuk di naikkan pangkat atau di naikkangaji.. tetapi dengan kejujuran dan keikhlasan dalam melaksanakan kerja.. kenaikkan pangkat dan gaji itu datang sendiri, saya tidak pandai membodek, dan saya terkenal dikalangan rakan sekerja sebagai seorang yang tegas dan garang. tetapi itulah resepi saya dalam menyiapkan setiap tugasan yang diberikan.. 

kadang2 saya juga meragui kemampuan saya sendiri.. tetapi saya tidak pernah berundur. saya sahut cabaran itu dan buktikan saya mampu lakukan! Bukan senang untuk membina keyakinan orang asing terhadap kita as a Asian. Tapi, alhamdulillah kebanyakkan expatriate asing sama ada dari Europe atau benua lain amat menghormati saya...


Tuan Hj Zuraimi Isa bergambar di ladang gandum yang sudah mula membuahkan hasil.. mashaALLAH.. 

"Pada masa hadapan, saya percaya bukan petroleum atau emas yang akan menjadi punca utama ekonomi negara.. tetapi akan berubah kepada FOOD security.. dengan bertambahnya jumlah penduduk dunia, kita perlukan jaminan pengeluaran makanan juga tidak akan terjejas." Tn. Hj. Zuraimi Isa. 





oleh,

MASNIRA RAMLI. 

Tuesday, January 3, 2017

Ukhwah itu sesuatu yang indah..


"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali ALLAH dan janganlah kamu sekalian berpecah belah, dan ingatlah nikmat ALLAH ke atas kamu semua ketika kamu bermusuh-musuhan maka Dia (Allah) menjinakkan antara hati-hati kamu maka kamu menjadi bersaudara." (QS. Ali Imran:103) 





sebagaimana yang selalu saya katakan apabila tinggal jauh dari keluarga, rakan-rakanlah pengganti di kala susah dan senang. salah faham itu kadang-kadang lumrah sedangkan di dalam adik beradik pun adakala kita bertikam lidah, merajuk apabila kehendak tidak difahami atau di salah erti. namun, pada saya, jika setiap ukhwah dan persahabatan itu lahir dengan hati yang ikhlas. maka, tidak mudah ianya putus. malah semakin kuat setelah salah faham. agak sukar ingin 'move on' jika ianya dizahirkan dengan hati yang ikhlas sudah dianggap seperti adik beradik sendiri.. mana mungkin semudahnya mahu dibuang jika tidak diperlukan lagi.. 

(flashback)

"ting tong." bell berbunyi tiba-tiba sedang saya sibuk melayan rasyad yang demam. berfikir sejenak siapa yang datang waktu begini? 

apabila buka pintu rupanya jiran terdekat saya yang saya panggil Kak P datang dengan wajah yang agak runsing. di tangannya memegang cool fever. oh, baru saya ingat saya baru sahaja khabarkan di dalam group whatsapp yang rasyad demam. cepat betul kak P sampai. mashaAllah agak terharu apabila kak P terus masuk ke dalam rumah mencari Rasyad. di arahkan saya supaya tampal cool fever tersebut ke dahi rasyad supaya suhu tidak meningkat sambil mulutnya membebel tidak henti.. 

"demam jangan dibiarkan eira.. suhu kena pastikan tidak panas...blablabla.." 

banyak tips yang kak p kongsikan. Kak P yang jauh lebih berumur dari saya seringkali menasihati saya ibu yang baru anak 2 ini. kadangkala terkial-kial menguruskan kehidupan seharian. sedangkan Kak P sudah besar panjang anak-anaknya dan semuanya berjaya di dalam pelajaran. bakal menerajui bidang-bidang profesional kelas pertama. pilot, architect, doktor dan dentist. selalu sahaja saya bertanyakan tips-tips untuk membesarkan anak-anak. ternyata Kak P tidak lokek malah semakin banyak yang saya tanya semakin Kak P suka bercerita. paling istimewa kami tinggal di dalam 1 bangunan apartment yang sama. saya di tingkat 4 manakala kak p di tingkat 2. 

tidak lama kemudian, kawasan perumahan kami bertambah ceria dengan kehadiran kak wina dan keluarga yang berpindah tidak jauh dari apartment kami. hanya walking distance dari apartment saya ke apartment kepunyaan kak wina. anak-anak kak wina juga menjadi peneman rania ke sekolah setiap hari. setiap pagi suami akan menghantar rania dan nana (anak perempuan kak wina) ke sekolah manakala ketika waktu pulang akan dijemput oleh driver peribadi kepunyaan kak wina dan keluarga. terasa ukhwah itu indah.. lebih lagi apabila dapat saling membantu di antara satu dengan yang lain.. :) 

berada di tingkat bawah sekali  adalah Prof dr azwa yang bekerja sebagai pensyarah di universiti umm qura. prof yang saya panggil kak wa tersangat baik dan rendah diri orangnya. dahulu beliau tinggal di saraya. sebuah kawasan perumahan yang agak jauh dari kawasan perumahan kami sekarang. memandangkan ketika itu, suaminya Prof Dr Ruslan masih berada di Malaysia kerana tanggungjawab di dalam pekerjaan, saya, kak p dan kak wina meminta kak wa pindah duduk berhampiran dengan kami. lebih mudah untuk kami membantu jika kak wa dan anak-anak memerlukan pertolongan.. 

kebetulan ketika itu rumah di bahagian bawah kosong apabila penghuninya berpindah ke tempat lain. tuan punya apartment pula sangat suka hati apabila kami khabarkan mahu mengajak rakan senegara berpindah ke rumah itu. beliau sangat sukakan orang Malaysia. apatah lagi apabila suami menambah bahawa orang yang bakal menjadi penghuni adalah seorang doktor yang mengajar di university umm al qura. makin lebar senyumannya.. tidak berlengah beliau cepat-cepat menghantar pekerja untuk membersihkan rumah tersebut. bukan itu sahaja. malah dicat baru juga! 

agak kelakar kerana ketika itu kak wa masih belum memberi kata putus mahu pindah atau tidak! khabarnya sangat sayang akan kediamannya ketika itu walaupun agak jauh tersorok. tuan rumahnya juga sangat baik hati dan menyenangkan. kami agak berdebar... dalam debaran, akhirnya sudah direzekikan untuk tinggal berjiran.. maka tinggallah kami kini 3 keluarga di dalam bangunan yang sama. suami kak wa, prof ruslan juga sudah berjaya kembali ke Makkah setelah semua urusannya selesai. 

kak p, kak wa beserta 3 anak perempuannya bersama-sama Rania untuk ke kelas tahfiz selepas asar. lokasinya hanya di bahagian basement apartment kami yang di jadikan tuan rumah sebagai pusat tahfiz untuk wanita dan kanak-kanak perempuan. alhamdulillah.. 

di hadapan rumah saya terletak rumah khausar, wanita saudi yang selalu sibuk dengan 4 orang anak perempuannya.. di bahagian bawah juga tinggal seorang doct bersama isteri dan anak-anaknya.. juga beberapa orang jiran lain yang berbangsa arab. mashaallah.. setelah hampir memasuki angka 6 tahun menetap di Makkah.. saya semakin boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran. bukan hanya menyesuaikan diri.. malah semakin jatuh cinta.. seperti sudah sebati di dalam diri.. 

Ramai sahabat-sahabat lain yang bersama-sama saya di sini menjalin ukhwah. dari kenalan biasa menjadi rapat seperti atok dan uwan 2R. kenalan kami yang sentiasa mengambil berat akan perihal kami dan rakan-rakan lain. kepada uncle nan dan aunty miza 2R dengan si comel aariz yang sudah 2R anggap seperti adik sendiri. sering sahaja berjumpa jika mempunyai kelapangan. begitu juga dengan kenalan lain yang sudah rasanya seperti keluarga sendiri. dari kumpulan usrah sehinggalah ke adik-adik pelajar university yang tidak lokek apabila diminta berkongsi ilmu.. 

sudah semakin ramai rakyat Malaysia yang menetap di Makkah. baru-baru ini kumpulan pekerja prasarana juga ada yang sudah membawa keluarga masing-masing. bertembung dengan rakyat malaysia di sini bukan satu kejanggalan lagi. tidak seperti ketika saya menetap di muscat dahulu, apabila terserempak dengan orang kita.. rasanya seperti berjumpa saudara yang bertahun tidak berjumpa! ^_^ 

ukhwah di dalam tanah haram ini istimewa kerana ianya adalah anugerah. senang mahu berukhwah namun bukan mudah untuk mengekalkannya.. tersalah langkah, ujiannya berat dan berdosa. dosa di dalam tanah haram berganda meskipun dengan hanya niat. nauzubillaminzalik.. suka benar saya dengan kata-kata kak wa yang dinukilkan di facebook beliau: 

"Janganlah membandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Begitu juga di mana kita tinggal bukanlah menunjukkan kita lebih mulia dari orang lain. Hanya taqwa yang membezakan kita di sisi Allah nanti."

sekian.. flashback tengah malam sebab tak boleh nak tidur.. 

oh ya.. kita sudah beranjak ke tahun baru! happy new year 2017 everyone! 





Sunday, December 11, 2016

Tiada lagi Doa Ibu...


Selalunya, ketika berada di dalam apa juga emosi terutama sekali berkait rapat dengan suami pasti saya akan khabarkan kepada ibu mertua. lebih lagi ketika kami di dalam frasa berusaha ke arah sesuatu. "ibu tolong doakan kami ya". itu lah kata-kata yang selalu saya pinta apabila ibu bertanyakan tentang apa sahaja perkara yang saya tiada jawapan yang pasti. ibu pasti akan menjawab "iyelah". ringkas dan padat. namun, saya pasti kami selalu berada di dalam doa ibu kerana apabila mendengarkan jawapan itu, rasanya sangat tenang dan damai. peratusan untuk rasa selamat itu sangat tinggi.. :) 

sebelum melangkah ke alam rumahtangga, mak pernah berpesan "pergilah rumah bakal suami, kenal2 dengan keluarga dia sebelum berkahwin" sbb mak risau kerana saya membuat keputusan untuk berkahwin terlalu awal setelah perkenalan dengan suami. tiba-tiba je nak kahwin. ketika saya suarakan pandangan mak kepada suami dan ianya kemudian diutarakan kepada ibunya, saya tersentak apabila ibu berkata "tidak boleh. dah kahwin nanti baru bawa pulang." saya merasa sedikit jauh hati.. teserlah disitu akan cara pemikiran yang sangat berbeza di antara mak dan ibu. 

makanya, pertemuan pertama saya dan ibu adalah ketika majlis merisik di kediaman kedua ibu bapa saya ketika itu. pertama kali melihat ibu yang kudratnya sudah kurang, berumur lewat 60an. jauh berbeza umurnya dengan ke dua ibu bapa saya kerana suami merupakan anak bongsu. malahan jarak umur saya dan suami juga agak jauh. sebelum itu, kami hanya bercakap melalui perbualan telefon. ya, ibu agak dingin. 

setelah diijabkabul, saya mula 'mengkaji' ibu mertua kerana mahu mengambil hati beliau. biasalah awal2 kahwin kata orang. ^_^ orangnya sangat tegas dan mempunyai peraturan sendiri. semangatnya kuat. mungkin kerana beliau seorang yang kuat ibadahnya. amalan yang tidak pernah saya nampak ditinggalkan adalah solat tahajud dan solat dhuha. saya yakin sebab itu lah ibu sentiasa kelihatan tenang. jarang sekali saya nampak emosinya terganggu meskipun berhadapan dengan masalah yang pelbagai. 

ibu sangat rajin mashaAllah. selalu terfikir, 'ibu ni tak penatkah?' sudah tidak mampu berjalan sendiri, tetap macam2 yang dilakukannya. bergerak dengan wheelchair. ada sahaja yang mahu dilakukannya. paling tidak suka berehat! sehingga kita yang masih muda ni pun malu sendiri. sebab mula2 terasa mahu menemani dan menolong apa sahaja yang ibu buat. kemudian, give up sendiri kerana seperti tidak sudah2 akan aktiviti ibu.

selalunya ibu tidak banyak bercakap dan berbual. melainkan jika kita pandai mencari topic perbualan. apabila bersama, saya yang banyak bertanya.. lazimnya, sambil-sambil saya menolong apa yang patut di dapur ataupun ketika makan bersama.. ibu seorang yang serius. sukar sekali ingin melihat dia tersenyum. jika pandai mengambil hatinya baru lah nampak senyum dan ketawanya. tetapi beliau selalu tewas dengan cucu dan cicitnya.. buat lah apa sahaja.. pasti akan nampak senyuman ibu dan sesekali keluar ketawanya yang sangat mahal melihat cucu dan cicit bermain ataupun ketika berbual dengan mereka. 

pemurah... itu juga kelebihan yang ada dalam diri ibu.. datanglah sesiapa sahaja ke rumah untu berniaga. pasti akan dibeli. di awal perkahwinan dahulu, sebelum berhijrah ke oman dan kemudian ke saudi, ibu seringkali menghadiahkan saya dengan pelbagai barangan.. daripada pekakasan rumah, tudung, baju.. katanya orang datang berniaga.. kasihan... panas2 bawa barangan yang banyak. oleh itu, setiap kali orang yang menjual datang, pasti akan dibelinya.. dan penjual tersebut boleh berehat seketika melepaskan lelah. kadangkala turut tumpang solat di rumah ibu kalau kebetulan masuk waktu solat ketika itu. suami sesekali membebel kerana risau akan keselematan ibu. namun, tidak diendahkan. katanya.. "kita buat baik dengan orang.. takkan orang nak buat jahat dengan kita.." saya tersenyum tatkala mendengarkan kata-kata itu.. dan suami akan mati kutu. tiada bantahan lagi. 

sikap pemurah itu bukan sahaja sesama manusia malahan kepada haiwan juga.. daripada beberapa ekor kucing yang pasti akan kenyang dan gemuk di rumahnya sehingga sekecil-kecil semut dan nyamuk! apabila pulang ke kampung... anak-anak saya yang tidak tahan dengan gigitan nyamuk dan selalu merungut jika ternampak semut. ada sahaja yang dirungutkan. 'nyaie... kenapa banyak nyamuk ni... nyaie.. banyaknya semut kat sini... tak suka lahh... tak tahan.. gatal...' selalunya nyaie akan berkata.. nyamuk dan semut pun nak makan juga... ingat rania dan rasyad je nak makan?? hehe.. maka ketawalah rania dan rasyad mendengar kata-kata nyaie yang itu.. selepas itu.. ia menjadi gurauan rania apabila digigit nyamuk.. dalam menggaru dia membebel.. "oh.. lapar ye nyamuk.. ha.. makan.. makan.. tapi.. jangan lah makan rania.. darah rania tak sedap.. pergi gigit orang lain pergi!" ^_^ 

seringkali saya mendengar runguntan orang yang mempunyai konflik dengan ibu mertua.. tipulah jika saya tidak pernah terasa hati dan merajuk dengan ibu. malahan jarak umur kami yang terlalu jauh menyebabkan terdapat banyak perbezaan pendapat. lebih lagi, usia saya yang menempuh  alam perkahwinan terlalu muda. ada sahaja yang menyebabkan kami bercanggah pendapat. namun, sikap saya ini yang meletakkan ibu mertua itu sama sisinya dengan ibu sendiri. hari ini saya merajuk kerana ditegur, selepas seketika saya akan kembali seperti biasa.. tidak pernah saya simpan di dalam hati... merajuk seketika itu normal.... malahan ibu sangat menjaga hati saya apabila mula mengerti akan sikap saya. banyak mengalah.. dan sedaya upaya tidak mahu memanjangkan konflik.  saya pula tidak mahu menjadikan asbab suami dilema ataupun mendapat dosa.. sebolehnya saya mahu suami menjadi anak yang taat dan baik.. tidak mahu ibu berkecil hati dengan suami.. kerana saya yakin siapa suami yang saya sanjung hari ini adalah berkat didikan dan doa seorang ibu dan ayahnya.... 

memandangkan kami tinggal jauh dari Malaysia.. kadangkala keberadaan waktu yang sedikit itu terpaksa kami bahagikan dengan baik supaya adil di kedua dua belah saya dan mertua. namun, ibu sangat-sangat prihatin.. kadangkala ibu yang bertanyakan jika saya sudah balik ke rumah ibu sendiri atau belum.. apa sahaja yang kami bawa kepadanya sebagai buah tangan.., ibu akan bertanya samaada sudah diberikan kepada besannya atau belum. mashaALLAH.. mulianya hati ibu. sehingga saya akan terasa bersalah sendiri jika melebihkan keluarga sendiri.. terutama sekali tentang masa.. terasa terlalu pentingkan diri jika saya mahu masa yang lebih bersama keluarga sendiri sedangkan ibu kesunyian di rumahnya...... menanti kepulangan kami yang sekejap-sekejap ini. malahan ketika masa yang terlalu pendek itulah sedaya upaya menyediakan makanan kegemaran kami meskipun kudratnya kurang.. saya tidak pernah bercerita akan apa yang saya suka makan.. tetapi selalunya akan tersedia semua makanan kegemaran saya, suami dan anak2.. ibu seorang pemerhati dan pengkaji yang baik dan tepat! itulah kelebihan ibu yang sangat saya kagumi.. jika ada kenalan/sedara mara yang datang umrah atau haji. pasti ada sahaja yang dikirim ibu untuk kami... bukan sedikit.. selalunya 1 beg besar! apabila dibuka.. pasti akan terselit akan makanan yang kami suka.. setiap orang ada hadiah masing2... 

suami.. dan 5 orang adik beradiknya saya kategorikan sebagai golongan yang berjaya di dunia dan juga ilmu akhirat. mereka sangat seimbang dari segi perlakuan dan juga ilmu agamanya. sempurna! saya percaya ianya datang dari hasil didikan seorang ibu yang saya sendiri sudah nampak di mana keistimewaanya.. serta seorang ayah yang cukup sempurna.. meskipun tidak pernah berjumpa ayah mertua.. dari penceritaan suami.. saya yakin ayah mertua juga seorang yang hebat seperti ibu.. mashaALLAH tabarakALLAH.. bertuahnya saya kerana pernah ada di dalam doa ibu.. pernah merasakan kasih sayang dan juga mencedok sedikit ilmunya serta melihat amalannya walaupun seketika.... 

ya, ketika saya menaip cerita ini.. hati ini sarat dengan rindu.. sehingga saya mampu mengingati setiap detik dan ketika saya bersama-sama ibu kerana ibu telah pergi meninggalkan kami 3 minggu yang lepas. terlalu banyak kenangan... saya hanya mampu berkongsi hanya sebahagian memori itu.. selebihnya hanya tersimpan kemas di dalam hati. 

ketika ibu sakit dan masih berada di dalam wad biasa ( sebelum berada di dalam icu hampir 3 bulan lamanya..) saya lihat semangat ibu sudah tidak seperti biasa.. ketika itu saya sedang berada di Malaysia menghabiskan saki baki percutian dan suami berada di Makkah kerana cuti yang pendek. apabila saya khabarkan kepada suami.. suami sempat berpesan "jangan lupa minta maaf dengan ibu.. sampaikan salam maaf dan sayang b sekali.." tidak lama kemudian, sakit ibu semakin kritikal dan dimasukkan ke dalam icu. sejak itu.. kami tidak nampak senyuman ibu lagi.. tidak mendegar suara ibu lagi... sepanjang ibu di icu.. beberapa kali kami pulang ke Malaysia... sehingga kepulangan yang terakhir.. dengan berat hati kami meninggalkan ibu bertarung di situ.. dan ketika itu saya sangat yakin itu adalah merupakan pertemuan terakhir saya dan ibu.... dan ternyata keyakinan itu benar kerana ibu pergi 3 minggu kemudian ketika kami di Makkah... kepulangan kami kemudiannya hanya mampu berdoa di pusara ibu.... menjawab persoalan anak-anak yang belum betul mengerti akan sebuah kehilangan dan merupakan pengalaman pertama berhadapan dengan pemergian keluarga terdekat... 

redha... itu pasti kerana kami tidak mampu lagi untuk melihat ibu terus bertarung dengan sakitnya.. tetapi.. rindu itu sarat.. dan terasa kehilangan serta kehidupan setelah tiada lagi doa-doa dari ibu itu lain benar rasanya! seperti hilang satu 'ketenangan' setelah perginya ibu.. sebelum ini suka sekali meminta ihsan doa ibu.. sekarang tiada lagi doa-doa itu.... malahan.. kami yang sewajarnya perlu selalu mendoakan ibu... supaya ibu tenang dan bahagia 'disana..' amin.. terasa masih berada di dalam pelukan kasih sayang doa-doa ibu.. alhamdulillah atas kesempatan dan keizinan daripadaNYA untuk saya mengenali seorang ibu mertua yang sangat sempurna di mata saya.. 

alhamdulillah berkesempatan berbakti kepada ibu di Makkah.. 

rania... menolak nyaienya bersaie.. 

ketika ibu datang ke rumah kami.. 

rania dan nyaie.. 

sungguh2 suami mahu berbakti kepada ibu di Makkah... dengan yakin beliau berkata.. mahu tolak ibu ke masjid setiap waktu.. mahu menemani ibu umrah.. alhamdulillah tercapai walaupun kadangkala kepenatan.. seawal jam 2 pagi ibu sudah bersiap2 mahu ke masjid untuk iktikaf.. kami semua masih tidur.. ibu yang akan mengejutkan kami... katanya... siapa nak tolak aku ke masjid ni.. semua tidur.. bangunlahh.. hehe.. kemudian tabah ibu menunggu anak bongsunya bersiap dalam mata yang masih berat... 

ketika di madinah.. 


raya terakhir bersama-sama ibu...sebahagian menantu (saya), cucu dan cicit... 

kenangan raya terakhir bersama ibu.. 

nyaie.... bersama sebahagian cucu perempuan dan juga seorang cicit lelaki.. 

Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia,muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman... Allahumma amin... 

berehatlah di sana ibu... sudah sampai masanya nanti... kita akan bertemu lagi... :)





coretan kerinduan dari menantu paling 'nakal',

Masnira Ramli.. 

Monday, October 17, 2016

Universiti Umm Al Qura, Makkah.

Assalamualaikum.. 

Kelompok kami rakyat Malaysia yang menetap di Makkah al mukarramah juga dimonopoli oleh sekumpulan pelajar yang berjihad di universiti Umm Al Qura, Makkah. kini jumlah mereka adalah seramai 22 orang. untuk pengetahuan semua, bukan calang-calang orang yang dapat melayakkan diri untuk belajar di sini melainkan mereka merupakan seorang pelajar cemerlang yang mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. 

Universiti Umm al Qura merupakan sebuah universiti islam yang menawarkan degree in islamic law dan arabic language studies. Kemudian, ia mula berkembang dengan menawarkan lebih banyak kursus seperti technology management, business management, islamic economics, Marketing, Engineering, Technology, Medicine, Education dan Architecture. tidak ketinggalan untuk bidang social dan engineering sciences. Medium bahasa yang digunakan adalah bahasa english kecuali untuk bidang syariah dan bahasa arab menggunakan sepenuhnya bahasa arab sebagai bahasa penghantar. 

Paling istimewa apabila 2 orang imam masjidilharam iaitu Sheikh Saud Al-Shuraim dan juga Sheikh Abdul Rahman Al Sudais merupakan diantara tenaga pengajar di universiti ini. 

Saya difaham oleh yang dipertua persatuan pelajar malaysia Makkah ustaz Afiq, setiap orang pelajar akan di berikan elaun bulanan sebanyak 840sr oleh kerajaan saudi dan juga tiket penerbangan percuma ke tanahair sekali setahun. menarik bukan? selain itu terdapat beberapa keistimewaan lain apabila dapat menuntut di sebuah universiti yang terletak di makkah ini. Golongan pelajar juga memanfaatkan peluang berada di sini dengan membuat pekerjaan selingan lain seperti menjadi mutawif sambilan untuk kebanyakkan kumpulan umrah/haji. Dengan ini mereka mampu menambah pendapatan dan juga pengalaman lebih lagi bagi pelajar yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak-anak. dengan kelebihan pengetahuan agama serta suasana pembelajaran di sini pasti tugas sebagai mutawif boleh dijalankan dengan baik sekali. lebih lagi kepada pelajar2 yang sudah lama berada di Makkah. mereka sangat berpengetahuan di dalam sejarah dan juga selok belok kota makkah. saya pasti banyak kelebihan dan cerita berkisarkan pengalaman sebenar yang dapat mereka kongsi dengan jemaah. 

Umm Al Qura universiti juga mempunyai kampus untuk wanita. kebanyakkannya terdiri daripada orang tempatan kerana agak sukar untuk pelajar wanita dari negara luar untuk bermukim di sini apabila syarat utama yang diletakkan adalah perlu ditemani mahram yang sama-sama berada di makkah. bagi pelajar Malaysia yang sudah berkahwin, mereka akan membawa isteri untuk sama-sama menggunakan peluang keemasan menuntut ilmu di kampus wanita. 

Pelajar-pelajar ini perlu bermula dengan kelas pengenalan bahasa arab (ma'had lughah) yang akan di habiskan selama 1 hingga ke 2 tahun mengikut penguasaan bahasa arab pelajar tersebut. kebiasaanya terlebih dahulu mereka wajib mengambil ujian bagi melihat tahap penguasaan bahasa arab mereka. jika berada di tahap yang memuaskan, kelas pengenalan bahasa arab akan dikurangkan tempoh sehingga ke setahun sahaja.  selepas itu, barulah akan diserapkan di dalam pengkhususan ijazah selama 4 tahun mengikut bidang pilihan masing-masing serta kelayakan yang diperolehi. justeru, ianya mengambil masa yang agak lama sehingga 5 atau 6 tahun untuk mendapatkan ijazah. inshaAllah.. 





kini kemasukan ke university Umm Al Qura Makkah sedang dibuka. boleh rujuk terus ke facebook persatuan pelajar Malaysia Mekah di sini. sebarang maklumat terutama cara memohon dan kelayakan untuk memohon telah pun di update di page berkenaan. 

mantan yang dipertua persatuan pelajar malaysia makkah Ustaz Syaharuddin semasa memimpin perdana menteri Malaysia Dato' Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak mengerjakan umrah. 

rombongan yang mengiringi ibadah umrah perdana menteri.. 

yang dipertua persatuan pelajar malaysia Makkah, ustaz Afiq bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Dr. Ahmad Zaid Hamidi sewaktu kunjungannya ke Makkah baru-baru ini. 

sesi beramah mesra bersama timbalan perdana menteri Malaysia.. 


Pelbagai aktiviti anjuran Persatuan Pelajar Malaysia Makkah untuk mengeratkan silaturrahim dan bertukar pendapat serta pengalaman di antara mereka. pelajar2 ini juga merupakan tempat rujukan kami dalam banyak perkara berkaitan dengan agama khususnya. alhamdulillah.. saya doakan semoga anda semua berjaya di dunia dan juga akhirat hendaknya.. amin.. 








Mantan penolong ketua kelas sekolah kampung,
Masnira Ramli. ;) 

Sunday, August 28, 2016

Wanita Saudi, Budaya dan Aktiviti.

Assalamualaikum..

Beberapa hari lepas, terdapat komen di facebook yang menginginkan saya bercerita tentang wanita saudi. mengikut pengalaman dan pengamatan sepanjang hampir 6 tahun saya menetap di Makkah al Mukarramah, terdapat beberapa ciri ataupun kebiasaan, aktiviti wanita-wanita saudi yang agak menarik di mata saya. menarik kerana disebaliknya terdapat cerita-cerita yang berkaitan dengan pengalaman saya sendiri. 

Ingin sekali saya tekankan bahawa perkongsian ini melibatkan perbezaan budaya yang tidak sama dengan budaya kita. Oleh itu, lebih selesa kalau saya hanya katakan ianya hanyalah perkongsian dari pengalaman sendiri. Tiada kajian terperinci yang saya lakukan. hanya sebahagian dari cerita-cerita menarik sepanjang saya menetap dan berkawan dengan orang-orang tempatan saudi ataupun dari negara arab yang lain yang sama-sama menetap di sini. 

Baiklah, berikut adalah budaya, kebiasaan ataupun rutin wanita saudi yang kita jarang-jarang kita lihat dan tahu. kalau dah bercampur dan tinggal dengan mereka barulah kita faham dan mengerti juga turut 'terjebak' dengan budaya mereka. ;-) 

1) abaya.. 

saya ada bercerita tentang kisah menarik diantara saya dan abaya di dalam buku saya 'embara kasang diselimuti oasis'. boleh dapatkan buku saya bagi mengetahui cerita tersebut. umum mengetahui kalau di saudi wanita mereka akan memakai abaya di kawasan public. tak kiralah di mana pun. MESTI pakai abaya. dimana jua yang namanya kawasan public yang bercampur lelaki dan wanita. tengah jogging pakai abaya, picnic pakai abaya.. satu hari masa saya dan keluarga picnic di pantai, nampak sekumpulan wanita saudi mandi laut dengan abaya! suka saya lihat.. budaya ini dan turut merupakan undang-undang kepada semua wanita yang berada di dalam negera ini. WAJIB pakai abaya di public area. 

gambar yang saya ambil suatu masa dahulu.. wanita saudi sedang jogging di taman berdekatan rumah ketika itu. 

buku EMBARA KASANG DISELIMUTI OASIS boleh didapati di popular atau MPH atau boleh juga secara online di humairabookstore.com. 

belanja sikit cerita tentang abaya. nak tahu sambungannya kenalah beli buku. ^_^

2) Sangat dilindungi oleh kaum lelaki mereka. 

Pernah saya berbual dengan ibu kepada salah seorang rakan sekolah rania. kebetulan ibu nya adalah orang melayu singapore yang dah tinggal di makkah berpuluh tahun selepas berkahwin dengan ayahnya yang merupakan orang tempatan Makkah. beberapa tahun selepas itu, ayahnya meninggal dunia semasa beliau dan adik beradik lain 8 orang semuanya masih kecil. saya tanya apa pekerjaaan ibu beliau selepas itu bagi menyara anak-anak selepas ketiadaan ayahnya. saya sangka pasti ibunya akan pulang ke singapore. rupanya tidak. mereka disara oleh keluarga sebelah ayahnya sehinggalah beliau dan adik beradiknya mampu bekerja dan mampu untuk menyara ibu. segala perbelanjaan harian dan persekolahan ditanggung sepenuhnya oleh keluarga sebelah ayah. MashaALLAH satu contoh tauladan yang sangat baik. mereka juga sangat menjaga kabilah ataupun nama keluarga yang dibawa.  oleh sebab wajib menjaga nama baik keluarga dan bagi mengekalkan anak2 dari darah daging keluarga mereka di situ, maka segala tanggungjawab ke atas mereka adalah urusan bersama dan dijaga dengan baik sehingga kini. 

lazim, mereka akan tinggal berdekatan di antara satu dengan yang lain. contohnya, satu bangunan apartment beberapa tingkat ditinggal oleh keluarga besar dengan mempunyai rumah masing-masing di dalam satu bangunan. lebih privacy dan lebih mudah untuk menjaga aurat di kalangan ipar duai.



3) Tidak di panggil dengan nama sendiri.

Hal ini tidak ramai yang mengetahui. wanita-wanita arab dilindungi oleh kaum lelaki mereka sehingga nama juga tidak sewenang-wenangnya di beritahu kepada sesiapa. mereka akan dikenali dengan panggilan 'ibu kepada'. contohnya kalau saya akan dipanggil 'umm rasyad'. ibu kepada Rasyad. iya, kita akan dipanggil dengan ibu kepada anak lelaki bukan perempuan. kalau tidak ada anak lelaki barulah dipanggil ibu kepada anak perempuan. diberitahu oleh sahabat saudi saya, bahawa dengan memberitahu nama wanita kepada sesiapa terutama orang lelaki yang bukan mahram adalah mengaibkan wanita tersebut! jadi jangan pelik, kalau mereka sukar untuk memberitahu nama mereka. 


4) Berhias.

Kadangkala saya gemar berbual dengan jiran di depan pintu rumah.
( kami buat mesyuarat pintu sbb suami masing2 belum balik kerja.) Beliau mempunyai 4 orang anak perempuan yang kecil2.. tidak ada pembantu.. tetapi dalam rumah sikit punya berhias cantik! lagi2, time hampir suami pulang dari kerja tu.. lipstik kemain merah.. wangi je.. saya kadang2 muka pucat tak sempat make up. malu pula dengan beliau. dan rasa berdosa dengan suami. hehe.. 

orang arab suka berhias apabila berada dalam rumah. lagi2 yang dah bersuami. siap pakai kasut high heel dalam umah. tuk, tak, tuk, tak. (sound effect mereka berjalan dalam rumah dengan kasut tersebut. ^_^) 

apabila mereka nak keluar, hanya perlu sarung abaya dan niqab! mudah. tapi dalam rumah pakai baju glamor2.. paling simple blouse dan jeans. mereka juga suka colorkan rambut dan menggayakan pelbagai jenis fesyen rambut di dalam rumah. 


5) Aktiviti seharian & perkerjaan. 

Jangan fikir apabila mereka tidak boleh memandu, tidak boleh keluar tanpa suami atau saudara lelaki, mereka terperuk sahaja di dalam rumah ya. tidak sama sekali. sebenarnya, wanita saudi memenuhi pelbagai sektor perkerjaan yang memerlukan khidmat mereka seperti guru, doktor, nurse, pembantu kedai barangan wanita, bank dan lain2. mereka juga berniaga terutama untuk bidang bidang kecantikan dan kewanitaan seperti mengusahakan saloon dan spa. 

Tempat bekerja pula biasanya tidak akan bercampur dengan lelaki seperti bangunan kerajaan, bank dan sekolah. bangunan untuk wanita berbeza dengan kaum lelaki membuatkan mereka bebas untuk tidak menutup aurat di dalam bangunan tersebut. menarik bukan? dapat make up, pakai cantik2 dan berhias di tempat kerja dan terselamat dari pandangan mata kaum lelaki lain. biasanya hanya suasana pekerjaan di klinik dan hospital sahaja yang memerlukan mereka bercampur di antara lelaki dan wanita, dan disitu suasana lebih strict dengan uniform doct dan jururawat yang wajib menepati syariah islam. 

mereka juga gemar pergi ke pusat2 kecantikan dan gym! paling istimewa tempat2 begini merupakan kawasan larangan keras bagi lelaki ya. kanak2 lelaki yang sudah mumayyiz pun biasanya dilarang. lebih lagi gi gym yang biasanya mempunyai swimming pool di dalamnya! 



6) Barty! Barty



ya, wanita arab suka makan2 dan berhibur. Barty! sebutan untuk "party". jangan pelik kalau sekolah perempuan hampir setiap bulan akan ada party terutama lepas habis exam. seronok anak2 dapat sama2 berhias. sekolah tahfiz juga tidak terkecuali. kalau pusat tahfiz Rania biasanya akan ada party yang meminta ibu dan anak turut sama berhias. dan barty mereka bukan hanya makan2.. ada macam2 aktiviti menarik! seperti bacaan puisi, game2 menarik dan juga bacaan surah2 oleh hafizah2.. semburan buih, baloon mesti tidak ketinggalan. pelbagai jenis manisan dan kuih muih tradisional mereka seperti coffee gahwah, barboosa ataupun kunafah serta pelbagai jenis cookies akan dihidangkan. yang pastinya saya sudah terbiasa dan suka join barty2 mereka.. bila lagi nak berhias dan pakai cantik2 kan? ;) 

selain itu, majlis makan2 di kalangan keluarga juga kerap diadakan. walaupun satu keluarga mereka tetap akan berada di kawasan berasingan di antara lelaki dan perempuan. lebih mudah dan bebas untuk ipar duai, sepupu ataupun sedara mara yang lain. 


7) suka menghias rumah

gambar contoh dari google. 

saya pernah terbaca satu article tentang orang jepun yang mengekalkan konsep minimalis dalam rumah mereka. tidak banyak perabot dan memudahkan dalam proses mengemas. berbeza dengan orang arab, kebanyakkan yang saya kenal memang sangat gemar menghias rumah. rumah mereka sama ada dari golongan yang berada atau kurang, pasti terhias cantik dengan perabot dan hiasan yang lengkap. tidak hairan mengapa di sini sangat mudah untuk mendapatkan perabot dengan pelbagai pilihan dan harga yang berpatutan. khabarnya mereka juga gemar menukar perabot. oleh itu, terdapat banyak kedai yang menjual perabot terpakai dengan harga yang murah serta kualiti yang agak baik. foreigners seperti saya yang tinggal di rumah sewa pasti suka untuk mendapatkan perabot2 yang murah dengan kualiti yang baik. kadang2 terjebak juga untuk menghias rumah secantik rumah orang-orang arab! tak dapat semua.. ambil feel sikit2 pun jadilah... ;) 

kalau nak kahwin dengan wanita arab kena siapkan rumah yang lengkap terhias cantik ya.. kata orang, isteri tinggal basuh kaki je masuk rumah. sebelum majlis, keluarga perempuan akan melihat rumah yang disediakan oleh pihak pengantin lelaki. semua kena lengkap! 


8) hebat dalam melayan tetamu! 

gambar kami ketika menjadi tetamu di rumah sahabat arab suatu masa dahulu. iya kami pakai kasut dalam rumah yang penuh dengan carpet tebal. 

kalau anda di undang ke rumah orang arab, bersedialah dengan memakai pakaian dalam abaya yang cantik dan sesuai kerana anda akan diminta untuk membuka abaya dan akan digantungkan abaya tersebut di tempat khas, membuka tudung dan make up sedikit supaya tidak terasa rendah diri apabila melihat tuan rumah yang sangat cantik untuk menyambut kita. paling penting bawalah perut kosong!. kerana anda akan diletakkan terpisah secara mutlak dari kaum lelaki, dilayan seperti permaisuri, dan bakal dijamu makanan berulang kali sehingga perut tiada ruang lagi untuk diisi. haha.. 

ini lah cara wanita arab melayan tetamu mereka. mula2 dulu saya kurang selesa. lama2 dah jadi seronok pula apabila bertandang ke rumah mereka. mula2 anda akan dihidangkan dengan minuman gahwah dan kuih muih ringan. sambil tu berbual-bual dan melihat sorang2 ahli keluarga wanita mereka keluar untuk bersalam dan seperti melihat fashion dengan model2 jelita yang keluar untuk berkenalan atau berbual. agak lama mungkin dalam 1 jam.. tidak lama kemudian anda akan dipanggil untuk ke ruang makan dan makanan berat dihidangkan. biasanya nasi arab dengan kambing. selepas makan akan dihidangkan pula pencuci mulut buah-buahan dan manisan dan minuman teh. dan apabila dihidangkan teh ianya sinonim dengan waktu pulang. tetamu perlu faham.. apabila tuan rumah offer teh, maknanya anda perlu juga siap2 kan diri untuk pulang selepas itu. :) biasanya akan berakhir lewat malam.

rasanya setakat itu sahaja.. kalau ada yang tersalah ataupun sebarang penambahan boleh komen di ruangan komen ya. sama2 kita tambah pengetahuan. dan seperti yang saya nyatakan di awal tadi, ianya adalah berdasarkan pengalaman peribadi. yang baik kita ambil dan yang tidak kita hanya jadikan sebagai pengetahuan. :) 








yang sama terjebak, 
Masnira Ramli. ^_^